Sembahyang, kenapa perlu?

Peringatan untuk saya dan sesiapa yang membacanya.

Kenapa perlu sembahyang?
Sembahyang adalah tiang agama. Bayangkan rumah tanpa tiang, maka ranaplah rumah itu.

Daripada laman web ini http://www.sabah.gov.my/jheains/Kepentingan%20Solat%20Dalam%20Kehidupan.htm

Solat atau sembahyang adalah rukun kedua yang menjadi asas terbinanya Islam. Solat juga merupakan tiang agama dan satu ibadat wajib ke atas setiap umat Islam yang akil baligh. Dalam al-Quran terdapat lebih 25 tempat ayat 'AQAMA' yang merujuk kepada makna perintah mengerjakan/mendirikan solat dan terdapat lebih 70 kali perkataan 'AS-SOLAH' atau sembahyang diulang dan disebut dalam al-Quran, antaranya firman Allah S.W.T (S. An-Nisaa': 103).Yang bermaksud:

"...maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna). Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya."

Hikmah sembahyang

1. Sembahyang Untuk Menyembah dan Mengingati Allah S.W.T. Firman Allah S.W.T: Yang bermaksud:

”Dan dirikanlah sembahyang itu semata-mata untuk mengingati Daku”. (S. Thaha: 14).

Sembahyang adalah pe-ngabdian seorang hamba kepada Allah S.W.T. Berdasarkan maksud ayat ini sembahyang adalah jalan bagaimana untuk kita sentiasa mengingati Allah Ta’ala. Sekaligus sembahyang juga merupakan tanda pengabdian dan syukur seorang hamba kepada Allah S.W.T. atas segala nikmat dan rahmat yang Allah kurniakan kepada kita. Firman-Nya:

2. Hikmah Sembahyang Dalam Menghapus Dosa.

Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

”Sembahyang lima waktu dan sembahyang Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu sembahyang-sembahyang itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar”. (HR Muslim).

3. Sembahyang Mencegah Perbuatan Keji dan Mungkar

Firman Allah S.W.T. yang bermaksud:”…dan dirikanlah sembahyang. Sesungguhnya sembah-yang itu mencegah daripada perbuatan keji dan kemungkaran”.

(S. Al-Ankabuut: 45).

Inilah kesan kebaikan kepada orang yang benar-benar taat mendirikan sembahyang, ikhlas semata-mata kerana Allah Ta’ala, bahawa sembahyang itu menjadi benteng diri dari perbuatan keji, jahat, maksiat dan kemungkaran.

4. Sembahyang Memantap Jiwa dan Sifat Tawaduk

Kesan kebaikan sembah-yang seterusnya dapat dilihat dan dirasakan dalam hati, jiwa dan dalam diri seseorang yang mendirikan sembahyang dengan ikhlas kerana Allah semata-mata, dari segi membentuk peribadi yang berdisiplin, tegas, tetap hati, berprinsip, bersifat tawaduk (tahu diri/rendah diri dan hati) dan sifat tadarru’ (merendah diri memohon berdoa kepada Allah). Dengan lain perkataan, sembahyang akan membentuk sifat dan akhlak mulia dalam diri orang-orang yang bersembahyang. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

”Bahawasanya sembahyang itu adalah penetapan hati (tegas dan berprinsip), (menyuburkan) sifat tawaduk serta tadarru’ (dalam hati dan diri seseorang)…”

(HR At-Tirmizi dan An-Nasa’i).

5. Sembahyang Menjana Kejayaan dan Kebahagiaan

Berkat hidup dan berbahagia kehidupan, aman damai dan tenang dan jiwa dipenuhi rasa yakin berjaya dan maju. Tiada keluh kesah, bimbang, runsing, takut dan gundah dalam diri. Inilah kesan dari ibadah sembahyang. Ia hanya akan dirasakan oleh orang-orang yang taat, khusyuk dan ikhlas mengerjakan sembahyang sepanjang hayatnya. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:

”Sesungguhnya berbahagia/berjayalah orang-orang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya”.

(S. Al-Mukminuun: 1-2).

Perlu diingatkan, bahawa solat adalah ibadat yang diterima oleh Baginda Nabi s.a.w. secara langsung daripada Allah S.W.T. ketika Nabi s.a.w. mengadap Allah S.W.T. di Sidratil Muntaha dalam peristiwa besar Isra' Mikraj Nabi s.a.w. Berbeza dengan ibadah lain seperti ibadah puasa, zakat, haji dan lain-lain yang diterima melalui wahyu dengan perantaraan malaikat Jibril a.s. pembawa wahyu. Ini tentu satu kenyataan bahawa ibadah sembahyang itu terlalu istimewa di sisi Allah S.W.T.

Sebagaimana manusia bila mahu memberi sesuatu yang istimewa kepada sese-orang kita sendiri yang akan memberi atau menyerahkannya. Kerana itu, sebagai umat Islam marilah kita ambil berat perintah solat ini dalam diri, keluarga, masyarakat dan kehidupan. Mudah-mudahan kita termasuk dalam golongan yang dijanjikan oleh Allah sebagai golongan berbahagia dan berjaya yang akan memperolehi kebahagiaan di dunia berupa kejayaan, ke-amanan dan keberkatan hidup, dan nikmat kehidupan akhirat yang kekal, sebagaimana firman Allah dalam al-Qur'an yang bermaksud:

"Dan mereka yang tetap memelihara sembahyangnya. Mereka itulah orang-orang yang berhak mewarisi. Yang akan mewarisi syurga Firdaus; mereka kekal di dalamnya".

(S. Al-Mukminuun: 9-11).

Demikianlah, betapa besar pengaruh dan fungsi sembahyang dalam menyuburkan nilai-nilai baik dalam kehidupan umat Islam. Jelas menunjukkan bahawa sembahyang yang sempurna dengan segala rukun serta syaratnya dapat memberi kesan dalam hati, jiwa, akal, amalan dan tindakan sese-orang. Dan orang yang tetap istiqamah mendirikan sembahyang juga dapat mengubah dirinya daripada se-orang berkelakuan jahat kepada berkelakuan baik, daripada mengerjakan perkara jahat atau maksiat kepada meninggalkannya dan daripada baik kepada yang lebih baik dan terbaik.

Kerana itu, Baginda Nabi s.a.w. telah mengingatkan ibubapa supaya mengajar dan menyuruh anak-anak mereka bersembahyang sejak berumur 7 tahun lagi. Sabdanya yang bermaksud:

"Suruhlah anak-anak kamu sembahyang bila berumur tujuh tahun dan pukullah mereka jika berumur sepuluh tahun (kerana enggan sembahyang). Dan pisahkanlah tempat tidur mereka (antara anak lelaki dengan perempuan)."

(HR Abu Daud).


Comments