WASIAT IMAM SYAFI’E (bahagian 1)

Antara pesanan dan juga kata-kata yang akan menjadi pedoman kepada kita melalui petikan beberapa pesanan dan peringatan daripada imam muktabar iaitu imam As-Syafi’e rahimahullah

1. Ilmu adalah sesuatu yang bermanfaat dan bukannya ilmu apa yang hanya dihafaz semata-mata


2. Kebaikan itu ada pada lima perkara iaitu mampu mengawal diri, menjauhkan diri daripada menyakiti orang lain, menggunakan rezeki yang halal, berserah diri kepada Allah dan menyakini segala kekuasan Allah.

3. Imam Syafi’e telah ditanya tentang tabiatnya yang suka menggunakan
tongkat sedangkan beliau bukanlah telah uzur, maka beliau menjawab : Ini bertujuan agar aku sentiasa mengingati bahawa hidup di dunia hanya sebagai musafir yang pasti akan kembali kepada Allah.

4. Perkara yang mesti ada pada pemimpin ada lima iaitu benar dalam
percakapan, menjaga rahsia, menunaikan segala janji, sentiasa memberi nasihat dan menunaikan kewajipan yang diamanahkan.

5. Keredhaan manusia sukar untuk engkau capai dan bukanlah bermakna selamat daripada lidah manusia sudah boleh dianggap sudah mencapai jalan kepada mendapat keredhaan mereka. Oleh itu engkau hendaklah melakukan perkara yang bermanfaat kepadamu dan sentiasalah berbuat demekian.

6. Sesiapa yang merasa marah tetapi dia tidak meluahkannya maka dia
seumpama keldai dan sesiapa yang merasa redha terhadap sesuatu tetapi dia tidak dapat menerimanya maka dia seperti syaitan yang mana redha dengan ketuhanan Allah tetapi tidak mahu tunduk pada perintahNya

7. Capailah tujuan sesuatu percakapan itu dengan diam dan capailah sesuatu keputusan itu dengan berfikir

8. Orang yang menzalimi diri sendiri ialah mereka yang tunduk dan patuh
pada mereka yang tidak menghormatinya, mengharapkan kemanisan pada sesuatu yang tidak memberi manfaat kepadanya dan menerima pujian daripada mereka yang tidak dikenalinya

9. Sesiapa yang mahu dipandang baik dan mulia maka dia hendaklah berbaik sangka terhadap orang lain

10. Sesiapa yang memberi peringatan dan nasihat kepada rakannya dalam keadaan sembunyi maka sesungguhnya dia telah menasihati dan memperelokkannya. Sesiapa yang menasihati secara terang maka dia
telah menyakiti dan mengkhianatinya.

Comments